Sunday, September 10, 2006,2:00:00 AM
Dunia Baru
Camping? Alahai bosannya! Tetapi mahu tidak mahu kena pergi juga. Susah betullah macam ini. Aku mengemas pakaian dengan rasa sebal. Kepala tidak henti-henti berfikir, entah kena panjat gunung ke? Berenang rentas jeram ke? Kena panjat pokok ke? Haih, macam-macamlah! Camping di Sungai Congkak, Ulu Langat. Tidaklah jauh sangat, kira-kira satu jam perjalanan darat dari MMU. Camping kami di Ecotouria Resort. Khemah sudah siap pasang. Jadi kami cuma kemas-kemas apa yang patut sahaja. Petang itu kami ada obstacle. Hah?! Habislah. Aku berpasangan dengan Neesa untuk obstacle itu. Tidaklah susah sangat. Otak ini yang sengaja fikir yang bukan-bukan. Malam itu pula kami ada night walk dan solo night drop. Hah?! Apakah? Maka dengan ayat-ayat pendinding dan segala doa yang telah dibaca, masuklah kami merentas hutan malam-malam buta. Apa yang sangat-sangat buat aku gembira ialah dapat melihat dengan jelas sinar kelip-kelip dalam pekat malam itu. Wah, macam iklan TNB lah pula! Bahagia sungguh apabila terasa begitu dekat dengan alam ciptaan Allah. Aku mula rasa seronok dengan camping ini. Jauh kami berjalan. Keluar masuk hutan. Lalu jalan raya kampong. Masuk hutan semula. Naik bukit yang penuh lecak menuju ke puncak. Tetapi tiba-tiba, ‘Hish, apsal tak gerak-gerak ni…Nak naik kebas kaki aku ni…kita dah lah dekat curam bukit ni’. ‘Entah le, orang depan tu yang tak gerak-gerak.’. Tiba-tiba terdengar pesanan daripada budak-budak di hadapan bergilir-gilir sehingga menerpa jelas ke telinga ku. Hah?! Pokok tumbang?! Aduh! Terpaksa berpatah balik dan memanjat bukit yang satu lagi. Perkara yang sama berulang. Kami tersekat di tengah-tengah hutan hujan khatulistiwa pada jam 12.00 tengah malam! Berdiri selama lebih setengah jam di cerun bukit yang hampir 60 darjah curamnya! Bosan betul! Sempatlah borak-borak dengan Fezi yang ternyata juga tidak tahan dengan keadaan itu. Boleh juga dia ini borak dengan aku, dalam kelas sombong pula. Yelah, aku ini tidak style macam dia. Amin pun sudah tidak tahan lagi. Asyik mengomel sahaja mulut dia. Bart pun begitu. Tunggu punya tunggu, patutlah lama. Rupa-rupanya kami dilepaskan seorang demi seorang untuk berjalan sendiri hingga sampai ke resort. Hah?! Jalan seorang sahaja? Dalam hutan?! Malam yang pekat lagi gelap tidak berbulan ini?! Gilalah! Aku dengan hati-hati melangkah sendiri dalam hutan yang sangat gelap itu. Bagaimana kalau sesat? Bagaimana kalau kena culik dengan bunian? Aku tidak mahu mendapat liputan akhbar dan televisyen semata-mata kerana hilang di hutan. Kalau menang anugerah ke, penyelidikan terbaru yang mengagumkan ke, tidak mengapa juga. Aku redah lah juga hutan yang gelap, hitam lagi pekat itu. Seperti yang dijanjikan, aku, Amin, Fezi dan seorang lagi budak perempuan (lupa nama) bertemu di pertengahan jalan. Kami pun berjalan sama-sama sehingga keluar hutan. Tidak sangka aku boleh tidur nyenyak pada malam pertama dalam khemah yang panas dan berlantai tidak rata itu. Penat mungkin. Mungkin juga kerana tidurku ditemani deruan jeram di sungai yang begitu mendamaikan bunyinya. Bunyi yang tidak akan lenyap sehingga bumi menjengah kiamat. Pagi itu sangat tenang. Aku bangun disambut dengan titis-titis embun yang masih segar di hujung rumput, samar-samar bukit yang semulajadi, bukan angkara jerebu, dan udara yang segar lagi mendamaikan. Kami akan masuk hutan sekali lagi. Kali ini kami membawa telur ayam seorang sebiji, tiga batang buluh, dua bungkus maggi dan sebungkus roti untuk setiap kumpulan.
bersambung....
 
posted by Ahmad Kamarulzaman ¤ Permalink ¤


1 Comments: