Friday, March 25, 2005,2:20:00 PM
Mencari 868!
Mac cukup mencabar. Terlalu banyak yang perlu dilakukan bulan ini. Kesemua assignment adalah kemuncak kepada semua subjek. Usaha dilipat gandakan. Jarang juga dapat berehat-rehat di bilik sendiri kerana sebahagian besar assignment adalah dalam kumpulan. Jadi, terpaksa berada di merata-rata tempat di pelosok MMU ini untuk menyiapkan kerja-kerja yang bertimbun itu. Bekerja dalam kumpulan memang banyak buruk dan baiknya. Dahulu tidak suka sangat kerana terpaksa bersaing idea dengan ahli-ahli kumpulan yang lain. Susah juga bila 5 orang yang berlainan otak sudah berfikir. Yang seorang mahu begini, yang seorang lagi mahu begitu. Akhirnya, haru biru. Tetapi inilah yang perlu dipelajari sebelum terdedah secara langsung kepada dunia industri yang semestinya menjanjikan ruang persaingan yang lebih mencabar. Namun, berkat kesabaran dan kesungguhan, bekerja berkumpulan banyak juga menjana hasil yang boleh dibanggakan. Apabila sudah terbiasa bekerja bersama-sama, timbul pula keseronokan. Mungkin banyak didorong oleh siri realiti tv yang popular, The Apprentice. Namun, ada juga assignment yang terpaksa disiapkan bersendirian. Bagai hendak tercabut pinggang dan terkulai leher menyiapkan kerja. Bermula pukul 9 malam dam hanya siap pukul 7 pagi hari berikutnya. Aduhai, baru Alpha, kalau sudah bertambah tahun nanti bagaimana pula agaknya ya?

Menara Telekom

Akhir bulan ini berkesempatan memohon Biasiswa Yayasan Telekom Malaysia. Disebabkan dapat tahu lambat dan tarikh tutup serahan borang permohonan semakin hampir, terpaksalah bersusah payah pergi ke Kuala Lumpur sendiri. Jangan tidak tahu, itulah kali pertama pergi ke kota besar itu dengan pengangkutan awam secara sendiri. Risau juga mula-mula. Tetapi apabila sudah sampai, lega rasanya. Nasib baik ada seorang rakan yang sanggup temankan. Terima kasih kepada dia. Kali itu juga adalah kali pertama dapat merasai kemudahan Transit Aliran Ringan (LRT). Macam rusa masuk kampung. Serba-serbi tidak tahu. Akhirnya, sampai juga ke Menara Telekom yang menjadi kebanggaan warga Telekom Malaysia itu. Masuk ke dalam menara yang cukup tinggi dan besar banyak masalah juga. Tersilap pilih sayap dan lif yang dinaiki tidak ke aras yang dicari. Lif pula begitu canggih. Beberapa saat berada di aras lima dan sementara menanti untuk ke tingkat seterusnya, sudah berasa di aras 55. Terkejut! Canggih sungguh! Di MMU masa sebegitu diambil jika dari LG hingga aras 3 sahaja. Akhirnya terjumpa lif yang tepat dan sampailah ke aras Yayasan Telekom Malaysia. Hebat sungguh menara ini. Bangunan lain, alat penghawa dinginnya berfungsi dari bawah siling, tetapi di sini berfungsi dari atas lantai pula.

Menara Telekom

Beli borang permohonan banyak-banyak untuk kawan-kawan yang lain. Kemudian, terus balik semula. Tetapi, satu masalah timbul. Sebelum pergi, hanya tanya pada kawan-kawan lain macam mana jalan hendak ke sana sahaja. Tidak terfikir pula ingin tanya bagaimana jalan nak pulang ke Cyberjaya. Masalah pun timbul dan mahu tidak mahu terpaksa diredah. Hampir dua jam mencari bas Rapid KL bernombor 868 dan apabila sudah jumpa, tidak berhenti pula. Kepala jagi pening selepas banyak kali berpusing-pusing di sekitar MYDIN yang banyak orang itu. Tambah tragis apabila langit mula mendung dan hujan renyai-renyai membasahi bumi. Bertambah lagi masalah. Tetapi, sabar dengan ujian Allah. Selepas putus harapan dan ingin sahaja pulang ke PUTRA LRT untuk menaiki ERL ke Cyberjaya, akhirnya jumpalah bas 868 yang tidak jauh dari tempat menunggu. Mana tidaknya, bas di hadapan MYDIN tetapi tunggu di belakang. Tidaklah jumpa! Selepas bermandikan peluh, berjaya juga pulang ke Cyberjaya dengan selamat. Pengalaman. Beberapa hari kemudian, kembali lagi ke menara itu untuk hantar borang permohonan yang telah siap diisi. Kali ini tiada masalah lagi! Alhamdulillah!

 
posted by Ahmad Kamarulzaman ¤ Permalink ¤


0 Comments: