Saturday, December 25, 2004,2:20:00 PM
2004 - Dalam Kenangan
Banyak yang terjadi. Banyak juga yang telah berubah. Pastinya tahun ini membuka banyak lembaran baru dalam kehidupan ini. Pelbagai perkara baru yang mahu tidak mahu harus ditempuhi sejajar dengan realiti kehidupan. Paling tidak dapat dilupakan adalah sejarah SPM. Keputusan yang keluar sekitar akhir bulan Februari adalah jawapan kepada segala-galanya. Persediaan yang telah berlangsung hampir lebih 2 tahun itu akhirnya berpenghujung. Walaupun keputusannya tidak sehebat mana, namun berjaya juga menjejakkan kaki ke menara gading. Sebelum itu, pengalaman bekerja buat pertama kali dalam hidup. Walaupun sekadar di kedai dobi sekolah, pengalaman itu memang berharga. Tahu juga macam jadi seorang yang makan gaji. Tahu juga bila bersama majikan yang banyak songeh walaupun sekadar mak cik sendiri.

FCM - Kursus Keriangan

Selepas hampir tiga bulan bekerja, akhirnya bermulalah kehidupan sebagai seorang mahasiswa. Sebelum masuk memang takut, risau dan macam-macam lagi. Buat kali pertamanya belajar jauh dari negeri sendiri, negeri kesayangan tanah tumpah darah. Macam-macam perkara bermain di kotak fikiran. Suka ada, benci ada, macam-macam ada. Ditakdirkan dapat kursus Creative Multimedia. Memang sudah minat untuk kursus ini sejak di Tingkatan 4 sewaktu lawatan sambil belajar ke MMU dahulu. Kursusnya menarik, tapi harganya… Bermulalah kehidupan baru di Cyberjaya. Bandar bestari yang mati. Tapi seronok, tidak sesak. Aman, damai dan sejahtera. Permulaan di FCM, MMU memang menyeronokkan. Melukis, mewarna, memang mententeramkan jiwa. Sayang sungguh pada FCM. Kursus yang banyak kerja dan kurang belajar. Sesuatu yang memang menjadi idaman sejak dahulu lagi. Semua yang dilakukan di sini seolah-olah menterjemahkan cita-cita sewaktu sekolah dahulu. Segala-galanya seronok. FCM - kursus keriangan!

Siti Nurhaliza Fantasia Tour

Buat kali pertama dalam sejarah hidup ini, dapat pergi ke konsert secara langsung. Siti Nurhaliza lagi! Konsert Fantasia Tour yang berlangsung serata negara. Siti pun ada mengadakan konsert di Melaka, tapi tidak dapat pergi kerana berada di Cyberjaya. Jadi, apabila konsert terakhir diadakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, tergerak hati pula ingin pergi. Lalu, terpaksalah memujuk teman sebilik yang sememangnya ada kereta sebagai pemandu. Puas juga memujuk, akhirnya dapat juga. Itupun setelah disogok duit minyak RM 20. Persembahan Siti memang mengagumkan. Tidak hairanlah dia masih lagi bertakhta sebagai ratu dunia hiburan negara. Kreatif dan cukup bertenaga. Berbeza sungguh kawalan vokal Siti dengan bintang-bintang hingusan Akademi Fantasia. Terlalu jauh perbezaanya. Tiada yang setanding Siti dalam dunianya. Sayang Siti! Pastinya tahun ini 2004 membawa jutaan lembaran baru dalam kehidupan. Banyak betul ‘buat kali pertamanya’. Frasa yang memang jelas dapat menggambarkan kemeriahan tahun 2004 ini.
 
posted by Ahmad Kamarulzaman ¤ Permalink ¤


0 Comments: