Thursday, November 25, 2004,2:20:00 AM
Indah Ramadhan Berseri Aidilfitri

Siti Nurhaliza


Sesuci Lebaran

Sesuci... di hening subuh sunyi
Sesuci... terdengar nurani
Sesuci... salam untuk Ilahi
Bagaikan memanggil insafi pada diri

Lebaran... terasa kesayuan
Lebaran... takbir bersahutan
Lebaran... memuji keagungan
Bergema suara syukuri nikmat Tuhan

Hiasi diri indah
Riangkan hati gundah
Bersihkan jiwa... sesuci lebaran
Agar sempurna amalan
Berdoalah insan
Di pagi raya
Moga-moga terampun dosa

Pohonlah ampun maaf
Kepada ibu bapa
Sahabat dan sanak saudara
Sama sama kita gembira

Bermesra tua muda
Bantulah miskin hina
Menyambut hari mulia
Sama sama kita gembira


-Siti Nurhaliza-
Rasa-rasanya, Ramadhan kali ini adalah yang paling sibuk sekali pernah dialami. Tidak pernah berbuka puasa pada hari pertama, di luar rumah. Hijrah ke Cyberjaya ini banyak mengubah kehidupan sebelumnya. Ramadhan-ramadhan sebelum ini banyak dihabiskan di rumah bersama keluarga. Paling tidak pun, Ramadhan tahun lalu bersama dengan sahabat-sahabat menghadapi SPM. Sedih memang sedih. Kami berpisah beberapa hari sebelum ketibaan Aidilfitri. Setelah lima tahun bersama-sama mengharungi suka dan duka, akhirnya tamatlah alam persekolahan. Jika dicampur dengan tadika dan sekolah rendah, hampir 13 tahun menggalas beg sekolah. Hampir 13 tahun jugalah punggung ini merasa hangatnya bangku kayu juga plastik serta berpinarnya mata menghadap papan-papan putih dan hitam di hadapan bilik darjah. Itu kisah setahun yang lalu. Tahun ini, ramadhan tidak bosan langsung. Banyak betul perkara yang perlu dilangsaikan. Dari kerja-kerja projek yang bertimbun hinggalah perkara-perkara peribadi yang menuntut masa dan kesabaran untuk dibereskan. Ada baiknya juga kerja-kerja yang melimpah ruah ini. Setidak-tidaknya kurang sedikit rasa lapar. Alhamdulillah, tidak terfikir pula ingin melakukan perkara-perkara yang kurang elok sepanjang ramadhan ini. Terima kasih kepada kerja-kerja yang banyak itu.

Ramadhan El-Mubarak

Seperti tahun-tahun sebelumnya, beberapa puluh ringgit terpaksa dibelanjakan untuk kiriman kad-kad Aidilfitri. Terasa semakin bererti kad-kad ini apabila semuanya sudah berjauhan di mata. Tapi yang melemahkan semangat apabila yang membalasnya cuma beberapa orang sahaja. Itupun melalui SMS. Pemalas betul mereka semua. Sesuatu yang baru tahun ini, apabila versi e-kad turut digunakan. Sesuai untuk rakan-rakan di MMU kerana mereka semuanya memang ‘bercinta’ dengan internet. Pengalaman juga banyak mengajar. Kali pertama berada di rumah menjelang beberapa hari sebelum munculnya fajar Aidilfitri. Terharu bila memikirkan diri ini semakin jauh dari keluarga. Semakin besarkah atau semakin matangkah ataupun semakin tua? Tetapi di rumah pun tidak senang duduk. Berbekalkan kudrat yang masih ada selepas dikerah sepenuhnya untuk projek-projek akhir trimester yang lalu, terpaksa juga menolong emak tersayang mengemas rumah yang memang berselerak selepas diubahsuai. Alahai, penatnya bertimbun-timbun. Lepas satu, satu datang lagi. Penat sungguh mengejar rehat. Namun, bila dah dapat, penuh nikmat.

Salam Aidilfitri, maaf zahir & batin

Akhirnya, Aidilfitri yang dinanti pun tiba. Tidak banyak yang berubah pada pagi Aidilfitri kali ini. Baju raya pun macam tahun lepas. Licin, kilat-kilat. Tak suka sangat. Tapi terpaksa juga pakai sebab emak yang beli. Nanti marah pula. Selepas menziarahi pusara arwah atuk dan nenek sebelah ayah, ke masjid pula bersolat sunat Aidilfitri. Setiap tahun, nenek sebelah emaklah yang paling banyak dikunjungi. Sekali datang, penuh halaman rumah. Rumah kami cuma kena tempiasnya sahaja. Aidilfitri tahun ini yang paling banyak berubah adalah rumah. Lain sangat sebab dah ubahsuai. Ramai yang terkejut dan terpinga-pinga. Yang paling menarik, pastinya duit raya yang semakin bertambah sejak dah besar ini. Ada yang bagi sampai RM 50! Bangganya apabila sudah besar. Boleh berlagak pada adik-adik. Tetapi, yang merosakkan suasana Aidilfitri yang penuh meriah ini adalah peperiksaan akhir trimester. Boleh pula berhenti-henti sekejap. Terpaksalah pulang semula ke MMU selepas hampir seminggu di rumah. Tetapi tidak mengapa, selepas ini cuti akan bersambung, bermakna rehat pun akan bersambung.
 
posted by Ahmad Kamarulzaman ¤ Permalink ¤ 0 comments