Saturday, September 25, 2004,2:20:00 AM
Filem Kita Wajah Kita

Akhir-akhir ini, filem karya Malaysia semakin ampuh mencelikkan mata penggiat seni seluloid antarabangsa. Dalam era globalisasi yang semakin menerjah, karyawan filem Malaysia mempunyai alasan kukuh untuk memartabatkan industri ini ke tahap yang lebih baik. Sebelum ini, filem Malaysia dianggap murah bersulamkan identiti lapuk yang tidak pernah mendapat perhatian warga dunia. Namun, suasana ini semakin berubah dengan hebatnya filem Puteri Gunung Ledang di Venice, indah bagai lukisan kata mereka. Jeritan Pontianak Harum Sundal Malam menggegarkan Pesta Filem Fantasi dan Seram di Estepona, Sepanyol.

Puteri Gunung Ledang

Nampaknya, seakan-akan ada sesuatu yang diburu oleh pencinta filem barat sebagai santapan selera mereka yang seringkali dihidangkan dengan filem-filem cinta dan seram yang hampir serupa. Oleh itu, sudah terang lagi bersuluh, untuk mencapai tahap antarabangsa, filem kita perlu berwajah sendiri. Untuk menjawab persoalan ini, kita perlu sedar bahawa identiti dan personaliti kita sebagai bangsa Malaysia wajar diterjemah secara telus dan sempurna sebagai tontonan dunia di layar perak. Identiti ini perlu kerana dalam dunia yang luas ini, sudah tertentu apabila identiti kita bersadur pemikiran barat, tiada apa-apa lagi keistimewaan yang dapat kita tonjolkan.

Sebagai contoh, saya sendiri merasa hairan mengapa Puteri Gunung Ledang dikatakan agak lambat perjalanan plotnya apabila ditonton oleh orang sendiri. Namun, apabila dipertontonkan di Venice, Perancis, filem tersebut mendapat pujian melangit tinggi dan sambutan yang mencurah. Dapatlah dibuat kesimpulan, bahawa orang Malaysia sudah bosan dengan sejarah Puteri Gunung Ledang yang khabarnya jelita itu dan gahnya Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka yang hancur tak bermaruah. Rakyat Malaysia sudah diperdengarkan dengan kisah lagenda ini sejak mereka bertatih lagi. Oleh itu, apalah istimewanya filem ini di mata segelintir mereka. Namun, bagi masyarakat antarabangsa, Puteri Gunung Ledang punyai banyak keistimewaan. Setelah lama dan naik muak dengan kisah cinta Romeo dan Juliet dalam Shakespeare in Love, sayangnya Jack pada Rose dalam Titanic, kisah cinta Mu Bai dan Pei Pei yang penuh imaginasi dalam Crouching Tiger, Hidden Dragon. Melalui filem-filem ini, dapat kita lihat bahawa apabila filem kisah cinta perlu ada adegan seks ataupun adegan-adegan yang mengghairahkan. Justeru, sesekali apabila kisah cinta terlarang antara Puteri Gunung Ledang dan Hang Tuah dipertontonkan, mereka merasakan sesuatu pembaharuan yang menarik dan mengajak mereka untuk menghargai filem ini. Memang susah untuk menonton filem Melayu yang penuh seni dan begitu lembut plotnya di peringkat antarabangsa. Apatah lagi, filem kisah cinta ini hanya bermain dengan dialog puitis dan bahasa tubuh yang berkesan. Metaforanya mencurah serta perlambangannya dijalin penuh harmoni dan indah. Inilah sebenarnya identiti kita. Sememangnya rekaan pakaian yang begitu teliti serta binaan set yang bersungguh-sungguh berjaya mencantikkan lagi filem ini.

Pontianak Harum Sundal Malam

Lain pula dengan Pontianak Harum Sundal Malam, filem yang berlainan genre ini berjaya menyuntik elemen kelainan bagi penonton filem Malaysia. Lantaran itu, filem ini mendapat sambutan hangat ketika tayangannya suatu masa dahulu. Kemenangan Shuhaimi Baba yang berjaya mengalahkan 50 pengarah hebat lain dari seluruh dunia di Pesta Filem Fantasi dan Seram di Estepona, Sepanyol memang membanggakan. Kejayaan ini tercerna daripada penghasilan Pontianak Harum Sundal Malam yang begitu berhati-hati bagi menjaga tatasusila masyarakat Malaysia. Sebelum ini, pelbagai pihak menafikan tindakan Lembaga Penapisan Filem Malaysia yang meletak garis panduan agak ketat bagi penghasilan filem seram iaitu tidak terlalu seram, tidak terlalu ngeri, tidak terlalu ganas atau banyak darah, cerita mesti patuh kepada sensitiviti agama seperti tidak boleh menunjukkan mayat bangun dari kubur dan mesti memperlihatkan sesuatu yang mulia atau elemen kebaikan atau sistem falsafah yang berasaskan kepada fakta-fakta yang di akhir filem. Saya tidak menganggap garis panduan ini sebagai mengongkong. Buktinya kemenangan Shuhaimi Baba berkisar pengarahannya beliau yang mantap. Memang sukar untuk mencari cerita seram yang hantunya adalah seorang penari jelita serta mendapat pengiktirafan istana. Di mana hendak cari? Lagipun garis panduan itulah yang membawa filem hantu dan seram Malaysia berpijak di bumi nyata. Begitulah kreatifnya Malaysia, filem hantu pun penuh dengan metafora dan kiasan.

Ingin saya tekankan sekali lagi, untuk mencapai tahap antarabangsa filem kita perlu berwajah kita. Filem kita perlu punyai identiti yang tersendiri. Saya kurang bersetuju dengan kerja-kerja oleh beberapa pengarah dan penerbit yang mengambil pendekatan filem luar sebagai tujuan mempopularkan filem mereka. Langkah ‘menggemukkan’ atau ‘menuakan’ pelakon bukanlah suatu langkah bijak untuk membawa filem Malaysia ke arena dunia. Untuk apa orang luar menonton filem-filem yang menampilkan solekan canggih sedangkan filem mereka juga punyai perkara yang sama. Dari sudut pemilihan lokasi pula, sesetengah penerbit dan pengarah gemar ke luar negara khabarnya untuk mencantikkan lagi filem mereka. Contohnya ke New Zealand dan sebagainya. Untuk apalah mempromosikan tempat orang sedangkan banyak lagi tempat di Malaysia ini yang sangat indah untuk dijadikan lokasi filem. New Zealand telahpun dieksploitasi oleh Lord of The Ring. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk mempromosikan tanah air sendiri. Untuk apa jauh ke tempat orang sedangkan hasilnya tidak seberapa?
Setakat ini, kedua-dua filem Puteri Gunung Ledang dan Pontianak Harum Sundal Malam memang layak membawa imej Malaysia ke persada dunia. Melalui filem-filem ini, gambaran terhadap Malaysia disampaikan secara sempurna dari segala macam perkara. Sebenarnya banyak lagi filem-filem Malaysia sebelum ini yang bersifat demikian, cuma kita sahaja yang kurang peka dan lebih mementingkan nilai komersial. Kesimpulannya, imej filem Malaysia terletak di tangan kita, sebagai warganya untuk mencorak dan menganyam keindahan negara kita di atas jaluran seluloid.‘Filem Kita Wajah Kita’
Rencana ini turut dimuatkan dalam akhbar Berita Harian bertarikh 09 Oktober 2004 dalam ruangan Surat Pembaca.

 
posted by Ahmad Kamarulzaman ¤ Permalink ¤ 3 comments