Friday, August 25, 2006,2:00:00 AM
Ogos yang Sangat Mencabar!
Ogos bulan yang sangat menyibukkan dan merisaukan. Kerisauan kian memuncak memandangkan majlis kian dekat. Festival Tari Piala Tun. Dr. Hasmah, Opening Ceremony MMU Convo Fest! 2006 dan Malam Pesona MMU 2006 meletakkan beban yang sangat berat di atas bahu kecilku. Namun, aku bersyukur kerana bekerja dalam satu kumpulan yang sangat serasi dan faham akan tugas masing-masing. Sebagai Event Coordinator yang penuh dengan angan-angan (kata mereka), aku sekadar memberikan idea untuk menjadikan majlis berkenaan tampak lebih menarik. Kalau tidak mahu terima idea aku pun, aku tidaklah sekisah mana. Cuma kecil hati sedikit sahaja (sikit je?). Walaupun diselubungi dengan pelbagai kontroversi, kami terus bekerja dengan penuh keazaman menjadikan ketiga-tiga acara berkenaan mencapai matlamatnya. En. Shah (Kaunselor MMU) banyak juga membantu dalam menjadikan segala perancangan menjadi kenyataan, walaupun 10 idea aku untuk gimik pembukaan ditolak mentah-mentah (kami disuruh berfikir dan mencari idea tetapi akhirnya beliau menggunakan idea sendiri). Suatu yang hebat ialah pentas MPH kali ini bertukar wajah, menjadi lagi berseri-seri. Dengan baget yang tidak seberapa, dapatlah juga kami menyuntik persekitaran baru untuk dewan serbaguna yang kecil itu. Rasa-rasanya setelah hampir tiga tahun di MMU dan terlibat dengan macam-macam majlis, pengalaman kali ini adalah yang paling besar. Selain memikul tanggungjawab tinggi, pelbagai masalah yang timbul buat aku makin belajar dan faham tentang dunia sebenar. Peristiwa tiga bunting kami hilang dicuri orang ketika kami belum habis proses menggantung sangat-sangat menguji kesabaran. Mana tidaknya, kami belum pun habis gantung semua bunting dan dalam perjalanan pulang sudah hilang! Ada juga manusia yang macam ini dalam dunia yang serba moden kini. Aku juga belajar, kadang-kala kita tidak boleh terlalu berharap pada orang lain walaupun kawan sendiri. Bukan hendak buruk sangka tetapi memang buktinya di depan mata! Ah, pengalaman! Alhamdulillah, ketiga-tiga acara berlangsung dengan jayanya. Cuma terselit sedikit kelam-kabut pada pengurusan Festival Tari Piala Tun Dr. Siti Hasmah. Namun acara pada malamnya sungguh gilang-gemilang. Dengan kehadiran penonton yang sangat ramai sehingga tidak tertampung oleh dewan sekecil MPH memang menambah kecut perut aku. Ditambah pula dengan kehadiran tetamu-tetamu kehormat seperti Canselor MMU sendiri, Tun. Dr. Siti Hasmah dan beberapa wakil daripada pihak penaja semakin membuat aku tidak selesa. Tekak aku jadi loya sebab terlalu gementar. Sebagai floor manager, apa-apa sahaja cacat cela pastinya beratus-ratus jari telunjuk (atau mungkin juga jari hantu) akan menghala ke arah aku. En. Shah banyak menenangkan aku. Aku tahu muka aku sudah macam orang yang separuh nazak. Lucu rasanya apabila ada waktunya aku pula yang terpaksa menenangkan En. Shah apabila dia tidak putus-putus mengomel semasa majlis penyerahan cenderahati dan hadiah berlangsung yang sememangnya tidak cukup raptai itu. Akhirnya malam penuh sejarah itu tamat dengan kejayaan besar kami semua. Sangat gembira dan lega! Ada juga beberapa kenalan yang mengucapkan tahniah dan memuji-muji. Tidaklah seramai mana tetapi cukup memberikan semangat untuk aku terus berdiri teguh. Aku juga lebih selesa berprofil rendah, lagipun aku bukanlah pengarah program. Apa yang penting aku puas! Puas sangat-sangat! Puas tidak terhingga!
 
posted by Ahmad Kamarulzaman ¤ Permalink ¤


0 Comments: