Tuesday, January 25, 2005,5:20:00 PM
Ku Buka Lebar Garbangmu - 2005
Tahun baru datang lagi. Datang bersama harapan yang menggulung tinggi. Datang bersama impian yang tidak kunjung padam. Datang bersama cabaran yang semakin hangat membakar. Namun, kalau sudah namanya hidup, sesaat pun tidak mampu dihentikan. Sedetik pun tak mungkin dapat diundur. Akhirnya, sebagai hamba Allah yang azali, mahu tidak mahu kehidupan harus terus diharungi dengan penuh kesabaran.

Gambar oleh AFP

2005 bermula dengan fenomena alam yang amat dahsyat. Sesuatu yang tidak disangka-sangka mampu dirasai penghuni rantau ini. Si peragut nyawa, tsunami nan menggila, sebelum ini hanya dapat disaksikan di negara matahari terbit dan beberapa kawasan lain dunia. Namun, kejutan dapat dirasai apabila babak-babak tragis meragut hampir 300,000 nyawa manusia menghantui warga Asia Selatan dan Asia Tenggara. Itulah tanda kekuasaan Allah. Segala-galanya menjadi suram apabila tanah rantau ini tiba-tiba bertukar menjadi kawasan perkuburan yang saujana mata memandang. Namun, itulah realiti kehidupan. Yang pergi biarkan mereka pergi, yang tinggal tak usahlah membiar harapan tertanggal.

Gambar oleh AFP

Seperti tahun-tahun sebelumnya, Anugerah Juara Lagu menjadi acara wajib dalam kalendar peminat seni suara tanah air. Tahun ini terpaksa menonton di MMU bersama-sama teman yang langsung tidak reti menghargai karya seni tanah air sendiri. Susah betul! Menganggu tumpuan sungguh! Kali ini tema Simfoni Alam Sejuta Ilham diketengahkan, sebagai menghargai elemen-elemen alam kurniaan Allah yang memangkin ilham pencipta muzik. Pelbagai spekulasi timbul apabila AJL kali ini tidak sehebat tahun-tahun sebelumnya. Kenapa agaknya? Pengacaranya yang mengarutkah? Atau masih berkabungkah kerana tsunami? Atau mungkin kerana Siti Nurhaliza tidak ambil bahagian? Segala-galanya hanya tinggal persoalan dan AJL seolah-olah adik beradik dengan kontroversi. Keputusan pertandingan kali ini tidaklah begitu boleh dibanggakan. Masih ada biasan populariti. Paling mengecewakan adalah kategori Irama Malaysia/Etnik Kreatif. Patutkah lagu sehebat Hatinya Tak Tahan tewas di tangan Erti Kehidupan yang tidak sempurna dalam memenuhi kehendak kategori berkenaan? Tidak adil langsung! Gerak tari Hatinya Tak Tahan yang cukup teratur dan ekspresif memang mengagumkan. Tambahan pula, persembahan Noraniza Idris kali ini cukup sederhana tetapi berkesan. Memang layak membawa pulang trofi Persembahan Terbaik. Kemenangan Ajai dalam kategori Balada menerusi Pulangkan memang sudah dijangka walaupun kategori itu membariskan lagu-lagu lain yang juga cukup mantap. Namun, kemenangan Misha Omar sebagai Persembahan Vokal Terbaik seakan-akan boleh dipertikaikan. Dengan gerak tubuh yang gedik dan melampau (tidak elok anak dara berkelakuan seperti itu!) serta vokal yang seperti ditiup angin, ramai lagi artis yang turut bertanding dilihat lebih layak memenangi kategori itu. Kemenangan Spider dalam kategori Pop Rock bolehlah diterima. Tetapi untuk meletakkan lagu berkenaan di puncak dan menyarung takhta Juara Lagu, rasanya tidak layak. Sudah namanya pertandingan, pasti ada kalah dan menang. Kalau semuanya mahu menang, siapa pula yang ingin mengisi ruang kekalahan? Tetapi mengapakah bilangan yang kalah selalunya lebih banyak daripada yang menang? Hanya waktu yang menentukan.

Anugerah Juara Lagu ke 19

Tahun baru, azam baru dan tahun 2005 terus melakar sejarah dalam kalendar kehidupan ini. Berada dalam Trimester ketiga tahun Alpha, FCM memang memenatkan. Walaupun baru separuh jalan, sudah banyak tenaga yang dikerah dan idea yang dicurah untuk menghadiahkan assignment yang cukup sempurna buat semua lecturer dan tutor. Apa-apapun, usaha perlu diteruskan untuk mencapai kejayaan. Banyak sungguh impian dan cita-cita yang perlu dicapai dan ini hanyalah suatu permulaan. Seperti biasa, tahun berganti tahun dan kita hanya mampu mengalun irama kehidupan yang tiada hujungnya.
 
posted by Ahmad Kamarulzaman ¤ Permalink ¤ 0 comments