Monday, April 25, 2005,5:20:00 PM
Tamat Sudah...
Pejam celik, pejam celik, Alpha sudah pun melabuhkan tirainya. Hampir setahun bekerja bagai nak rak, akhirnya tamatlah kehidupan sebagai pelajar paling junior di MMU ini. Menghampiri hari-hari terakhir di Alpha, seolah-olah menyingkap kenangan yang kian tenggelam. Teringat semula saat-saat pertama kali menjejakkan kaki ke MMU sebagai seorang mahasiswa. Banyak sungguh kenangannya. Sepanjang minggu peperiksaan, hati ini diselubungi debaran yang tidak henti. Takut-takut kalau tidak ke Beta pula nanti. Jangka waktu minggu peperiksaan yang panjang menzahirkan kebosanan. Dapatlah juga berjalan-jalan bersama kawan-kawan selepas sibuk menyiapkan assignment dahulu. Peperiksaan pun tamat dan tidak sabar-sabar pula hendak pulang ke rumah. Cuti kali ini cukup lama. 8 minggu. Macam-macam boleh buat. Tetapi, biasanya sekadar menonton tv di rumah sahaja. Rasa-rasanya diri ini sudah macam saudara kembar dengan tv dan hampir semua susunan rancangan sudah berada dalam batu jemala ini. Cukup seronok menonton tv. Banyak dapat idea-idea baru yang segar. Cuti terus bersambung.

Siti Nurhaliza Royal Albert Hall Live in Concert

Awal bulan ini, penyanyi kesukaan ramai, Siti Nurhaliza membuat konsert solo penuh bersejarah di Royal Albert Hall, London. Konsert yang dinanti-nantikan oleh peminat-peminat Siti di sana itu bolehlah dianggap berjaya walaupun disuntik oleh banyak cecair spekulasi dan kontroversi. Biasalah. Beberapa hari kemudian berlangsung pula majlis anugerah penuh prestij, Anugerah Bintang Popular 2004 yang berlangsung di Tanah Tinggi Genting. Acara yang dinanti-nantikan ini tersulam pelbagai kecacatan teknikal dan sebagainya. Mungkin ini suatu tamparan buat wartawan-wartawan Berita Harian yang kadang kala bermulut lancang mengutuk acara-acara pihak lain.

Anugerah Bintang Popular - Berita Harian 2004

Perkara yang amat penting dan penuh bersejarah pada malam berkenaan adalah kemenangan Siti Nurhaliza yang dinobatkan buat kali ke enam sebagai Bintang Paling Popular 2004. Sekali lagi kejayaan buat peminat-peminat Siti Nurhaliza yang rasa-rasanya juga setabah penyanyi itu. Sayangnya saat-saat gembira itu tidak dapat dikongsi bersama-sama dengan Siti. Beliau hanya pulang ke tanah air beberapa hari selepas acara berlangsung. Tahniah Siti! Walaupun dilanda kontroversi, tetap menjadi perhatian warga peminat seni suara negara ini dan juga negara-negara jiran. Teruskan usaha dan insyallah boleh berjaya.
 
posted by Ahmad Kamarulzaman ¤ Permalink ¤ 0 comments