Wednesday, August 25, 2004,5:20:00 PM
Olimpik 2004 : Tegarkah Atlet Malaysia?
Apabila menyaksikan atlet-atlet negara kita, tidak kira lelaki mahupun wanita yang tumbang satu persatu di atas gelanggang masing-masing, terasa dalam hati apakah sebenarnya yang tidak kena? Jika hendak dibandingkan dengan atlet-atlet negara lain yang lebih mundur serta rentak pembangunan yang tidak stabil berbanding Malaysia, mereka masih lagi mampu membawa pulang sekurang-kurangnya sebutir pingat. Romania contohnya, bukanlah sebuah negara yang dipandang hebat melalui pengaruh ekonominya mahupun pembangunan fizikal, tetapi mampu membawa pulang sebanyak lapan pingat emas, lima pingat perak dan empat pingat gangsa. Satu pencapaian yang masih lagi mustahil buat Malaysia. Lihat pula dengan jiran-jiran kita, Thailand dan Indonesia yang sudahpun beberapa kali menggenggam pingat emas dan apakah kita tidak mahu merasai biasan kilauan pingat tersebut? Namun, jika difikirkan semula, mustahil untuk semua atlet Malaysia yang diberikan kepercayaan ke bandar purba itu hanya mempunyai semangat sekadar bertanding. Sudah tentu, kalau kita sekalipun diberikan tanggungjawab menggalas amanah negara, pasti sepenuh kudrat dan keringat akan kita perah untuk memartabatkan Malaysia di mata dunia.

Nazmizan Muhammad

Nazmizan Muhammad contohnya yang mendapat jolokan Raja Pecut Asia Tenggara, aksinya agak hambar kerana sekadar menduduki tempat ketujuh daripada lapan peserta dalam seawal saringan pertama. Secara keseluruhannya, Nazmizan menduduki tangga ke-45 daripada 53 orang peserta yang mengambil bahagian. Suatu kedudukan yang amat memalukan. Namun, sudah tentu tempat yang teruk itu bukan matlamat Nazmizan. Ketika menyaksikan larian beliau, dapat kita lihat terpancarnya kesungguhan yang melimpah pada wajah beliau. Namun, seolah-olah kurang sesuatu, Nazmizan terus ketinggalan dalam saingan 200 meter itu. Seperti ada sesuatu. Bukan berkaitan dengan semangat dan kesungguhan, tetapi mungkin faktor fizikal. Beliau telah mengerah sepenuh tenaga namun tetap tidak mampu mengalahkan jaguhan lain dalam saringan beliau itu. Oleh itu, apa lagi yang mampu kita ubah apabila persoalan fizikal yang menjadi masalah. Sudah nasib orang Asia, fizikalnya tidak sehebat orang Eropah dan Amerika.

Josiah Ng

Saya fikir atlet paling membanggakan Malaysia dalam edisi Olimpik kali ini adalah Josiah Ng. Biarpun semangat beliau sedikit tercalar ekoran palitan perselisihan faham dua jurulatih beliau, prestasi beliau memecut kayuhan di veledrom itu amat berkesan. Biarpun gagal ke podium untuk dikalungkan pingat, persembahan beliau boleh dibanggakan apabila menjadi wakil tunggal Asia ke pusingan akhir dalam acara Keirin itu. Berbeza dengan Nazmizan, Josiah tampak hebat memberi saingan kepada lima peserta lain dan saya sendiri ketika itu terlompat-lompat dan terjerit-jerit kerana yakin yang Josiah bakal menyumbang pingat buat kontinjen Malaysia. Namun ahkirnya hampa kerana Josiah ketinggalan beberapa sentimeter dan pemenang pingat gangsa juga hanya ditentukan melalui teknik akhiran gambar (photo finish). Semangat Josiah dan tenaganya wajar dipuji kerana sekurang-kurangnya kontinjen Malaysia tidak malu di veledrom setelah dimalukan di trek dan di gelanggang badminton.

Elaine Teo

Satu lagi harapan Malaysia untuk menyambar kilauan pingat adalah Elaine Teo dalam acara taekwondo kategori flyweigth (bawah 49 kilogram). Setelah menerima undian pertemuan yang digambarkan menyebelahi beliau, Elaine kecundang juga. Seterusnya perjalanan beliau ke suku akhir tersekat akibat tunduk kepada Euda Carias dari Guatemala. Namun, saya agak kasihan melihat aksi Elaine yang agak baik dalam kedudukan yang agak genting ketika 30 saat pusingan akhir apabila atlet Guatemala itu mendahului dua mata di hadapan. Namun, Elaine tetap bangkit dan dalam jangkamasa yang singkat itu, beliau berjaya meraih mata dan berkedudukan seri dengan lawan beliau. Amat sedih sekali apabila keputusan pertandingan tersebut dipengaruhi juri dan juri-juri tersebut tidak menyebelahi Elaine. Inilah hakikatnya pertandingan subjektif. Apa-apa sahaja boleh berlaku. Ironik kisah bapa beliau dan duit poket RM500 sebagai bekalan beliau tidak berjaya membawa beliau ke pusingan seterusnya untuk meraih pingat. Apa yang harus difikirkan oleh sekalian rakyat Malaysia adalah bagaimana meningkatkan pencapaian Malaysia di atas pentas sukan dunia. Apakah situasi kem Malaysia akan terus suram selama-lamanya dan tidak langsung memberi harapan buat rakyat Malaysia? Hanya kesegaran fikiranlah yang mampu melahirkan gelombang jawapannya.
 
posted by Ahmad Kamarulzaman ¤ Permalink ¤


0 Comments: